Raja Samba Rock Malaysia Bakal Menggemparkan Pentas - Konsert Solo Sulung DarkKey 2 Ogos


Oleh: Eqmal Ezad.

MELAKA 13 JUN 2025 - Pencetus muzik samba rock Malaysia, DarkKey Nagaraja, bakal menggemparkan pentas tempatan apabila tampil dalam konsert solo pertamanya bertajuk "I Am DarkKey: King of Samba Rock Concert" di Panggung Bangsawan Melaka pada 2 Ogos ini. Kemunculan legenda muzik Tamil ini datang selepas beliau mengejutkan industri filem Kollywood menerusi lagu "AK The Tiger" bagi filem Good Bad Ugly yang menjadi sensasi terbaru. Konsert berdurasi dua jam ini dianjurkan oleh Melaka Maju Peoples Charity Club (MMPCC) sebagai usaha mengumpul dana untuk kerja-kerja kebajikan sambil memartabatkan pengkarya dan muzik Tamil tempatan.

Presiden MMPCC, T Manimaran, berkata fenomena DarkKey yang kini menghangatkan industri perfileman India melalui lagu runut bunyi ciptaan dan nyanyiannya telah mencetuskan inspirasi untuk kerjasama bersejarah ini. Beliau menekankan bahawa DarkKey telah mendominasi arena muzik rock Tamil tempatan sejak awal era 90an dan kini melangkaui sempadan dengan kejayaannya di Kollywood. Konsert ini turut menampilkan bintang muda Santesh, yang mencipta lagu solo pertamanya "Endrum En Kadhaley" pada usia 15 tahun dan mencapai arus perdana melalui hits Melayunya "Amalina" pada 2018, serta Zubir Khan berdarah Melayu-Pakistan yang menggegarkan industri dengan lagu "Yennode Macha" yang meraih jutaan tontonan di media sosial.


Tiket konsert yang bakal dijual bermula 6 Jun ini ditawarkan pada harga RM69 untuk kategori berdiri (Puli Puli), RM79 untuk tempat duduk (Akamage) dan RM89 untuk kategori premium (Adiva Adiva), dengan pembeli tiket duduk akan menerima lanyard eksklusif dan poster bertandatangan. Pengurus Besar Panggung Bangsawan Melaka, Datin Sukhirah Ibrahim, melihat penganjuran konsert ini dapat menyokong usaha merakyatkan seni persembahan di Melaka, terutamanya di venue unik ini yang asalnya panggung wayang lama Cathay dan terletak di zon buffer UNESCO sebelum direnovasi oleh Perbadanan Melaka pada 2024 sebagai hab seni persembahan live.

Pengarah Projek Patahati Universe, Cassandra, menegaskan bahawa konsert DarkKey ini hanyalah permulaan kepada perancangan menampilkan lebih ramai nama besar industri muzik di Melaka sebagai alternatif kepada Kuala Lumpur. Beliau yakin inisiatif ini dapat menonjolkan Melaka bukan sahaja dari segi nilai estetika yang dimilikinya, malah harga tiket yang jauh lebih kompetitif. T Manimaran menekankan konsert bersejarah ini tidak patut dilepaskan kerana ia menghimpunkan tiga generasi pengkarya - DarkKey, Santesh dan Zubir Khan - sambil menyokong usaha kebajikan yang memanfaatkan komuniti.

Comments

Popular posts from this blog

Majlis Anugerah Kejayaan KAL Venture: Melahirkan Jutawan Pantas Malaysia

NIDJI MENGUMUMKAN KONSERT SOLO PERTAMA DI MALAYSIA

ILBAI Failkan Saman Terhadap "The High Table" & "Unboxing" Atas Tuduhan Menjual Barangan Mewah Tiruan