Revolusi Hijau Bermula! GGR Motor Lancar Motosikal Elektrik Bersama Deretan Artis Popular

 

Oleh: Norazni Ismail.

KUALA LUMPUR, 15 JUN 2025 - GGR Motor, syarikat automotif tempatan yang mengambil inspirasi nama filem popular "Gila-Gila Remaja", kini melangkah ke era baharu dengan memperkenalkan inisiatif "Go Green Revolution" menerusi pelancaran motosikal elektrik terkini mereka. Berkerjasama dengan Perniagaan Mazlan & Hashimah (PMH MOTOR) Sdn Bhd sebagai rakan strategik eksklusif dan pengedar sah utama, syarikat ini bakal mengadakan majlis pelancaran rasmi pada 28 Jun di Saloma Kuala Lumpur dengan kehadiran Ketua Pengarah MARA, Datuk Zulfikri Osman sebagai tetamu kehormat bagi menyokong perkembangan teknologi hijau dan inovasi anak tempatan.

Pengarah Urusan GGR Motor, Muhammad Mussadiq Mohamed Azmi berkata pelancaran ini merupakan langkah permulaan memperluaskan penggunaan motosikal elektrik dalam kalangan masyarakat dengan pendekatan lebih mesra pengguna dan menjangkau generasi muda. Acara sehari penuh bermula 9.30 pagi hingga 4.30 petang akan menampilkan sesi pelancaran, pameran, jaringan pelabur dan media, manakala aktiviti malam dimeriahkan dengan persembahan komuniti, sesi test ride, cabutan bertuah dan aktiviti santai bersama pencinta kenderaan elektrik. Beliau turut mengundang barisan artis popular tanah air termasuk Bella Astillah, Johan Raja Lawak, Nabil Ahmad, Ajak Shiro, Farid Kamil dan Cat Farish untuk menyemarakkan lagi sambutan majlis tersebut.



Dalam usaha memperkukuh jenama dan capaian pasaran, Muhammad Mussadiq mendedahkan Johan yang dikenali menerusi jenama makanan Itik ke Ayam bakal menjadi rakan kolaborasi utama dalam membuka cawangan kedai bersama artis terpilih selepas pelancaran nanti. Langkah strategik ini diharap dapat menjadi batu loncatan perkembangan jenama secara lebih meluas di pasaran tempatan mahupun antarabangsa, dengan beliau menegaskan artis-artis yang terlibat bukan sekadar selebriti tetapi sahabat lama yang dipercayai mampu membawa nilai positif kepada jenama tersebut.



Bagi menyemarakkan lagi sokongan terhadap inisiatif hijau, GGR Motor mengumumkan penajaan dua unit LionG1 e-bike bernilai RM2,054 setiap satu sebagai hadiah rasmi kepada penonton bertuah konsert Aku Muzik Kamu (AMK Indie 2025) pada 26 dan 27 Julai 2025 di Litar Antarabangsa Sepang. Muhammad Mussadiq menegaskan strategi ini bukan hanya tentang produk tetapi membawa perubahan budaya supaya generasi akan datang melihat mobiliti hijau sebagai gaya hidup harian, dengan syarikat telah menyampaikan hasrat kepada pejabat Timbalan Perdana Menteri Malaysia, YAB Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk melancarkan motosikal elektrik keluaran mereka sebagai kemuncak acara pelancaran rasmi tersebut.



Comments

Popular posts from this blog

Majlis Anugerah Kejayaan KAL Venture: Melahirkan Jutawan Pantas Malaysia

Wak Dan Lebih Selesa Bergerak Solo

NIDJI MENGUMUMKAN KONSERT SOLO PERTAMA DI MALAYSIA