Seni Berkongsi Kasih: Briged Seni Kreatif Jayakan Program Agihan Daging Korban 2025
Oleh: Eqmal Ezad.
HULU KELANG, 12 JUN 2025 - Briged Seni Kreatif bersama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) hari ini menganjurkan Program Agihan Daging Korban 2025 yang menyaksikan sebanyak 500 pek daging korban diagihkan kepada penggiat industri kreatif tanah air sempena sambutan Aidiladha. Program yang berlangsung dari jam 10 pagi hingga 12 tengah hari di FINAS Hulu Kelang ini turut disertai oleh Jawatankuasa Hal Ehwal Industri, Kebajikan dan Data Industri FINAS, Persatuan SENIMAN, GAFEMA (Gabungan Persatuan Perfileman Malaysia) dan Colla Cattle Farm sebagai rakan kongsi strategik.
Inisiatif ini khusus menyantuni pelbagai golongan dalam industri kreatif termasuk artis veteran, pekerja belakang tabir, kakitangan industri, dan komuniti setempat Kampung Kemensah. Program yang dianggarkan dihadiri 500 penerima ini bukan sahaja bertujuan mengagihkan bantuan dalam bentuk daging korban, malah turut mengukuhkan hubungan silaturrahim antara warga industri kreatif dengan masyarakat setempat. Agihan ini melambangkan semangat pengorbanan, keprihatinan dan ukhwah sesama insan yang menjadi teras perayaan Aidiladha.
Menerapkan semangat Malaysia MADANI, program ini memperlihatkan komitmen sektor seni kreatif dalam memainkan peranan sosial yang lebih luas, bukan hanya dalam ruang karya tetapi juga dalam menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat. Briged Seni Kreatif tampil sebagai pemangkin utama dalam menggerakkan aktiviti kesukarelawanan kalangan warga seni dan budaya, sekali gus mendekatkan industri kreatif dengan keperluan komuniti tempatan.
Program yang mendapat liputan media ini diharapkan dapat mempromosikan imej positif industri kreatif sebagai sektor yang tidak hanya menghiburkan, tetapi juga prihatin terhadap kebajikan masyarakat. Kejayaan program ini membuktikan bahawa warga industri kreatif mampu bersatu dalam usaha kebajikan sambil terus mempertahankan nilai-nilai murni dan tanggungjawab sosial dalam masyarakat Malaysia yang harmoni.
Comments
Post a Comment