Tealive Lancar Sachet 3-dalam-1 Untuk Kenikmatan Teh di Rumah



Oleh: Eqmal Ezad.

PUTRAJAYA 05 JUN 2025- Jenama teh gaya hidup terkemuka di Asia Tenggara, Tealive, kini secara rasmi melancarkan ke pasaran barangan pengguna bergerak pantas (FMCG) dengan pelancaran rangkaian minuman sachet 3-dalam-1 pertamanya. Menerusi varian teh susu, kopi dan coklat, sachet ini menawarkan rasa lazat setaraf kafe yang boleh dinikmati pada bila-bila masa dan di mana jua. Majlis pelancaran telah diadakan hari ini di IOI City Mall bersempena dengan pelancaran menu baharu Tealive.

Bekas Menteri dan podcaster terkenal, Khairy Jamaluddin yang juga penyokong kuat inovasi dan keusahawanan tempatan, telah merasmikan pelancaran ini. Menurut Khairy, perjalanan Tealive daripada kiosk ke rumah pengguna bukan sekadar evolusi perniagaan, tetapi perubahan budaya yang membawa detik kebanggaan bagi inovasi Malaysia. Beliau menekankan bahawa Malaysia bukan sahaja mengeksport produk, tetapi juga gaya hidup dan identiti negara melalui jenama tempatan seperti Tealive.

Bekas Menteri dan podcaster terkenal, Khairy Jamaluddin ketika memberi ucapan.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Tealive, Bryan Loo, menyifatkan pelancaran ini sebagai bab baharu yang berani untuk jenama tersebut serta langkah strategik untuk memastikan Tealive kekal relevan dengan perubahan gaya hidup ke arah kemudahan dan penggunaan di rumah. Loo berkata pihaknya mahu menjadikan rasa kegemaran Tealive lebih mudah diakses oleh para peminat, dengan rangkaian 3-dalam-1 ini membawa detik istimewa Tealive ke dalam rutin harian sama ada ketika dalam perjalanan, di tempat kerja atau berehat di rumah.

Ketua Pegawai Eksekutif Tealive, Bryan Loo ketika memberi ucapan.

Rangkaian baharu ini akan mula dijual secara eksklusif di AEON dan cawangan Tealive di seluruh negara serta platform e-dagang mulai 15 Jun, sebelum diperluaskan ke lebih banyak saluran runcit pada Julai. Setiap kotak dijual pada harga RM12.90 dan mengandungi lima hingga enam sachet yang dibuat menggunakan bahan premium untuk rasa yang kaya, berkrim dan asli. Varian yang ditawarkan termasuk Teh Susu Signature, Teh Matcha, Teh Tarik, Kopi Signature, Caramel Macchiato, Kopi Hazelnut, Coklat Signature, Coklat Gelap dan Coklat Hazelnut.


Minuman sachet Tealive ini disasarkan untuk menonjol dalam landskap FMCG yang kompetitif dengan Loo menyatakan kepercayaan jenama terhadap inovasi rasa, integriti bahan dan hubungan emosi dengan pengguna sebagai pembeza utama. Beliau menegaskan bahawa Tealive dibina sebagai jenama gaya hidup yang menyokong jenama tempatan dengan menunjukkan bahawa produk buatan Malaysia setaraf dunia. Menurut kajian Frost & Sullivan, segmen kedai teh di Malaysia dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul sebanyak 9.6 peratus dari 2024 hingga 2029, menjadikan Tealive berada dalam posisi baik untuk memanfaatkan pertumbuhan runcit dan FMCG ini.

Comments

Popular posts from this blog

Majlis Anugerah Kejayaan KAL Venture: Melahirkan Jutawan Pantas Malaysia

NIDJI MENGUMUMKAN KONSERT SOLO PERTAMA DI MALAYSIA

ILBAI Failkan Saman Terhadap "The High Table" & "Unboxing" Atas Tuduhan Menjual Barangan Mewah Tiruan