Juicy Luicy pasti gempak di Ruang Inspirasi Festival 2025 - KL Siap-siap
Oleh: Norazni Ismail.
Peminat muzik di Malaysia, terutamanya generasi muda, akan dimanjakan dengan pengalaman konsert yang luar biasa menerusi Ruang Inspirasi Festival (RIF) 2025 yang dijadualkan berlangsung pada 17 Ogos 2025 di Mega Star Arena, Kuala Lumpur. Konsert yang dipersembahkan oleh Expoindo bersama penganjur tempatan Thrive ini membawa konsep unik yang menggabungkan persembahan muzik dengan elemen inspirasi dan perkongsian kisah di sebalik karya-karya popular artis. Festival ini bukan sekadar konsert biasa, tetapi menjadi platform untuk menyemai semangat positif dan inspirasi melalui kekuatan muzik.
Kumpulan pop alternatif terkenal dari Indonesia, Juicy Luicy, bakal menjadi tarikan utama RIF 2025 dengan lagu-lagu hit mereka seperti 'Lantas', 'Lampu Kuning' dan 'Sialan' yang sudah tidak asing lagi di telinga peminat tempatan. Penganjur Expoindo menyatakan bahawa pemilihan Juicy Luicy sebagai artis utama adalah kerana kumpulan ini antara yang paling digemari generasi muda Malaysia, dengan lagu-lagu mereka yang dekat dengan pengalaman hidup pendengar dan sarat dengan mesej emosi yang kuat. RIF akan memberikan pengalaman berbeza kepada penonton kerana artis yang membuat persembahan turut akan berkongsi kisah peribadi dan perjalanan mereka dalam dunia muzik, menjadikannya satu pengalaman yang lebih intim dan bermakna.
Festival ini dirancang untuk diadakan sebanyak dua persembahan dalam satu hari iaitu pada sebelah tengah hari dan malam, dengan artis tambahan akan diumumkan minggu hadapan. Melalui inisiatif ini, Expoindo turut merancang untuk meluaskan RIF ke bandar-bandar utama lain di Malaysia sebagai usaha memperkukuh semangat komuniti dan menjadikan festival ini platform serantau yang menghubungkan artis Indonesia dan Malaysia. Penganjur berharap RIF akan menjadi jambatan budaya yang mengeratkan hubungan industri hiburan kedua-dua negara sambil menyebarkan nilai-nilai positif kepada masyarakat.
Tiket RIF 2025 menampilkan Juicy Luicy untuk persembahan malam ditawarkan pada harga presale bermula RM128 hingga RM528 bergantung pada kategori tempat duduk, dengan tambahan RM150 untuk pakej Group Photo Top Up. Jualan tiket akan bermula pada 3 Julai 2025 jam 12.00 tengah hari melalui aplikasi BBO Events atau laman web rasmi ri-fest.com/kualalumpur. Peminat boleh mengikuti perkembangan terkini melalui Instagram dan TikTok rifest.my untuk maklumat lanjut mengenai festival yang dijangka bakal menjadi salah satu acara muzik paling dinanti-nantikan tahun ini.
Comments
Post a Comment