"Lagu Patriotik Terbaru Afi Raffi 'Bukan Sebuah Mimpi' Bakal Jadi Anthem Merdeka?"



Oleh: Papadin.

Vokalis kumpulan Brainstew, Afi Raffi, bakal memeriahkan sambutan bulan kemerdekaan tahun ini dengan meluncurkan sebuah karya istimewa berjudul "Bukan Sebuah Mimpi". Lagu bergenre folk rock ini menampilkan sisi baharu penyanyi yang selama ini dikenali menerusi aliran pop punk, dan dijadualkan untuk pelancaran rasmi di semua platform digital pada 1 Ogos 2025. Meskipun berbeza daripada genre kebiasaannya, Afi Raffi yang juga pengasas Brainstew menganggap projek ini sebagai penghargaan kecil untuk tanah air dan menegaskan bahawa beliau tidak bergerak solo tetapi masih bersama kumpulannya.

Karya yang diterbitkan oleh FB Media Ventures ini merupakan hasil sentuhan kreatif sepenuhnya Shamsul Cairel Abdul Karim yang bertindak selaku komposer, penulis lirik dan penerbit. Proses rakaman dan adunan lagu dijalankan di studio Funky Brigade Music, Desa Melawati dengan menampilkan Raja Mohd Sham sebagai pemain gitar. Kehadiran Raja Mohd Sham yang merupakan nama besar dalam industri muzik tempatan dan pernah bertugas sebagai pengarah muzik konsert untuk artis tersohor seperti Datuk Jamal Abdillah dan Liza Hanim, turut memberikan nilai tambah kepada produksi ini.


Penggambaran video muzik telah dijalankan di beberapa lokasi menarik sekitar Sijangkang, Selangor termasuk Warisan Studio Hall dan Taman Rekreasi Paya Bakau Sijangkang. Pemilihan lokasi-lokasi tersebut sengaja dibuat untuk menonjolkan suasana komuniti yang erat, mesra dan saling membantu sebagai cerminan semangat perpaduan yang menjadi tema utama lagu ini. Aspek visual dan pasca produksi video muzik pula dikendalikan dengan teliti oleh Resap Jilma Collective yang turut terlibat sejak awal proses produksi.

Projek yang mendapat sokongan dana daripada MyCreative Ventures mewakili Kementerian Komunikasi menerusi geran Dana Cipta Karya – Dana Irama Perpaduan ini akan diedarkan secara digital oleh New Southern Record (NSR) Sdn. Bhd. Dengan gabungan elemen muzik yang menyentuh jiwa, lirik penuh makna serta mesej perpaduan yang kuat, "Bukan Sebuah Mimpi" diharapkan dapat menjadi antara lagu patriotik segar yang mampu menyatukan rakyat Malaysia menerusi irama dan rasa menjelang sambutan kemerdekaan yang semakin hampir.

Comments

Popular posts from this blog

Wak Dan Lebih Selesa Bergerak Solo

Majlis Anugerah Kejayaan KAL Venture: Melahirkan Jutawan Pantas Malaysia

NIDJI MENGUMUMKAN KONSERT SOLO PERTAMA DI MALAYSIA