Setelah Bertahun Berpisah, FTG & SOFEA Legacy Kembali Bergabung dalam Showcase "Metal Fighter"


 

Oleh: Norazni Ismail.

SIJANGKANG 21 JULAI 2025 - Dua legenda muzik rock dan metal tempatan, FTG dan Sofea Legacy, akan menggemparkan peminat melalui konsert eksklusif bertajuk Metal Fighter pada 16 Ogos 2025 di Warisan Hall, Sijangkang. Konsert anjuran Mentari Merah Entertainment ini menjadi medan bersejarah penyatuan semula dua kumpulan ikonik yang telah lama tidak muncul bersama dalam persembahan berskala besar, dengan idea kolaborasi tercetus secara spontan hasil perbualan WhatsApp antara penganjur Mohamed Noor (MM) dan gitaris Sofea, Fancy.

Mohamed Noor aka (Mentari Merah) yang menjadi tulang belakang penganjuran 'showcase' kali ini.

Kemunculan semula FTG selepas tempoh 'tidur panjang' menandakan kebangkitan strategik kumpulan tersebut dengan formasi baharu lima orang yang menampilkan Tajul (vokal), Mie (bass), Jamboo (gitar utama), Rezoy (gitar kedua) dan Megat (dram). Vokalis Tajul menegaskan kumpulan ini sebenarnya tidak pernah menyepi, sebaliknya sedang mencari pelapis yang sesuai selepas kehilangan pemain dram asal mereka, dan kini kembali dengan semangat baharu serta impak yang lebih mantap dengan konfigurasi dua gitar. Bagi Sofea Legacy pula, line-up terkini menampilkan Fancy (gitar), Jay (gitar), Dauz (dram), R'man (bass) dan vokalis baharu Mie yang menggantikan penyanyi terdahulu selepas konsert Revolusi tahun lalu menerima sambutan dingin peminat.

SOFEA Legacy ketika menjalani sesi latihan.

Konsert selama tiga jam ini akan menyajikan antara 10 hingga 20 lagu daripada kedua-dua band, termasuk karya popular seperti Aku Tak Peduli dan Kau Jangan Kurang Ajar, serta lagu nostalgia seperti Hati Syaitan, Bungaku Kerinduan, dan Bunga Padang Pasir. Gabungan elemen thrash metal FTG dan hard rock Sofea dijangka memberikan warna unik yang berbeza dan segar, bukan sahaja sebagai nostalgia tetapi juga simbol tenaga baharu dalam arena muzik keras tempatan. Pemilihan Warisan Hall dibuat berdasarkan keupayaan logistik dan bajet, dengan konsert ini diusahakan sepenuhnya tanpa penaja besar kerana Mat Noor mahu mengutamakan silaturahim berbanding keuntungan.

FTG ketika menjalani sesi latihan.

Tiket konsert dijual pada harga RM90 untuk early bird dan RM100 untuk walk-in dengan sasaran kehadiran sekitar 300 penonton, manakala t-shirt eksklusif konsert turut ditawarkan pada malam tersebut. Mat Noor, yang sudah lama menjadi penggerak di sebalik pentas muzik rock tempatan, menyatakan konsert ini hanyalah permulaan dan jika berjaya, lebih banyak persembahan akan dirancang untuk band-band veteran lain. Untuk tempahan dan maklumat lanjut, peminat boleh menghubungi Mentari Merah Entertainment atau Zam Pacak di 019-2123239, dengan Metal Fighter dijanjikan sebagai malam penghormatan kepada semangat muzik keras yang tidak pernah mati.

Penganjur bergambar bersama SOFEA Legacy dan FTG.


Comments

Popular posts from this blog

Wak Dan Lebih Selesa Bergerak Solo

Majlis Anugerah Kejayaan KAL Venture: Melahirkan Jutawan Pantas Malaysia

NIDJI MENGUMUMKAN KONSERT SOLO PERTAMA DI MALAYSIA