Sheila Majid Bakal Gemparkan Axiata Arena Dengan Konsert Mega 40 Tahun Dalam Muzik



Oleh: Norazni Ismail.

KUALA LUMPUR 16 JULAI 2025 - Ratu Jazz Malaysia, Sheila Majid bakal menggemparkan pentas hiburan tempatan dengan konsert mega berjudul "Sheila Majid 40 Years in Music" yang dijadualkan berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil pada 8 November 2025. Konsert yang dianjurkan oleh Altus Prohouse dengan kerjasama TopGallant Show ini bukan sekadar konsert tribute biasa, tetapi sebuah perayaan bersejarah yang menandakan empat dekad pencapaian cemerlang legenda muzik Nusantara ini dalam industri seni.

Penganjur menyifatkan konsert ini sebagai momen emas yang akan menjadi sejarah abadi dalam merayakan evolusi dan perjalanan panjang Sheila Majid yang penuh dengan cabaran dan kejayaan. Menurut Miselyn Yee Siew dari Altus Prohouse, konsert ini lebih daripada sekadar persembahan kerana ia merupakan pesta merayakan bagaimana lagu-lagu ikonik seperti "Sinaran", "Hitam Putih Kehidupan", "Legenda" dan "Antara Anyer Dan Jakarta" yang dihasilkan pada era 80-an dan 90-an masih hidup subur dan mampu menawan hati penggemar muzik generasi kini.


Sheila Majid sendiri menganggap konsert ini sebagai anugerah dan tribute kepada semua pihak yang telah menyumbang kepada harumnya nama beliau selama empat dekad. Beliau mengakui bahawa keberuntungan dicintai peminat yang tidak pernah berhenti menyokong sejak 40 tahun lepas merupakan hasil kerjasama dengan ramai 'arkitek' dan 'tangan magis' yang membantu membina kerjayanya. Konsert ini juga menandakan pencapaian peribadi Sheila Majid sebagai konsert mega solo pertama beliau di pentas 'indoor' terbesar di Malaysia.

Konsert yang disokong oleh pasukan kreatif hebat termasuk Mac Chew sebagai Pengarah Muzikal, Jenny Chin sebagai kolaborator, Jennifer Thompson sebagai Pengarah konsert dan Steve Ho sebagai pereka pentas antarabangsa ini menawarkan pengalaman visual dan muzik yang menakjubkan. Tiket dengan harga bermula RM268 hingga RM3,400 untuk ZON PARTI eksklusif akan mula dijual pada 17 Julai jam 10 pagi melalui laman web www.ticket2u.com.my/sheilamajid40, dengan kemudahan pembelian khas untuk orang kelainan upaya (OKU) melalui WhatsApp di talian hotline +6019-595 1931.



Comments

Popular posts from this blog

Wak Dan Lebih Selesa Bergerak Solo

Majlis Anugerah Kejayaan KAL Venture: Melahirkan Jutawan Pantas Malaysia

NIDJI MENGUMUMKAN KONSERT SOLO PERTAMA DI MALAYSIA