Siti Nurhaliza & Ade Govinda Cipta Simfoni Cinta dalam 'Menamakanmu Cinta'


Oleh: Norazni Ismail.

Dua nama besar industri muzik Malaysia dan Indonesia, Dato' Sri Siti Nurhaliza dan Ade Govinda, sekali lagi menyatukan bakat mereka melalui single terbaru berjudul "Menamakanmu Cinta". Kolaborasi yang penuh makna ini dijangka bakal menjadi kegemaran para peminat muzik di Malaysia, Indonesia, dan seluruh dunia. Lagu cinta yang sarat dengan emosi ini merupakan hasil kerjasama kedua artis yang sudah tidak asing lagi di negara masing-masing, menampilkan kematangan muzik dan rasa yang mendalam.

Ini bukan kali pertama kedua-dua artis berkolaborasi. Sebelum ini, Ade Govinda telah mencipta tiga lagu popular untuk Siti Nurhaliza dalam album Fragmen (2014), iaitu "Terbaik Bagimu", "Engkau", dan "Tak Pernah Ragu". Kini, dua sahabat dalam dunia seni muzik ini kembali menyatukan kekuatan mereka melalui karya yang lebih matang dan penuh rasa. Dato' Sri Siti Nurhaliza meluahkan rasa syukurnya kerana dapat bekerjasama semula dengan Ade setelah sekian lama, menggambarkan "Menamakanmu Cinta" sebagai lagu yang sangat indah dengan sentuhan khas Ade yang sentiasa mampu mencipta lagu-lagu hit masa kini.


Menurut Dato' Sri Siti Nurhaliza, lagu ini membawa mesej positif dalam menghargai orang-orang tersayang dan diharap dapat dinikmati oleh semua pendengar sebagai lagu cinta yang menyatukan kenangan serta perasaan mereka. Beliau berharap para pendengar dapat merasakan perjalanan emosional melalui setiap nada dan melodi yang disajikan, kerana lagu ini dicipta dengan penuh perasaan dan harapan, dengan setiap liriknya mencerminkan keindahan cinta sejati. Sementara itu, Ade Govinda selaku penulis lagu sekaligus produser mengungkapkan pengalaman bekerjasama dengan Siti kali ini terasa sangat istimewa, dengan idea awal lagu muncul kerana beliau ingin mencipta lagu cinta yang boleh dinyanyikan di setiap perkahwinan oleh sesiapa yang sedang berbahagia.

Ade Govinda turut berkongsi kenangan manis semasa proses rakaman di studio, menyebut Dato' Sri Siti sentiasa prihatin kepada semua orang dan pasti membawa banyak makanan semasa sesi rakaman, mewujudkan suasana yang santai namun tetap profesional. Beliau berharap "Menamakanmu Cinta" dapat menjadi soundtrack kehidupan bagi sesiapa yang sedang jatuh cinta, bukan sekadar melodi atau lirik, tetapi juga ungkapan perasaan yang mampu menyentuh jiwa dan menggambarkan kedalaman emosi antara pasangan. Single ini diterbitkan oleh Universal Music Sdn Bhd, SN Legacy Sdn Bhd, dan MyMusic Records, dengan Ade Govinda bertindak sebagai komposer, penulis lirik, pengarah muzik dan produser, manakala Jones Roma mengendalikan mixing dan Stephan Santoso bertanggungjawab untuk mastering.

Comments

Popular posts from this blog

Majlis Anugerah Kejayaan KAL Venture: Melahirkan Jutawan Pantas Malaysia

Wak Dan Lebih Selesa Bergerak Solo

NIDJI MENGUMUMKAN KONSERT SOLO PERTAMA DI MALAYSIA