"Time Machine Rock 90'an: Legenda Tempatan Hidupkan Semula Zaman Kegemilangan Di RCDbig Studio"
Oleh: Papadin.
KUALA LUMPUR 30 JULAI 2025 - Industri muzik tanah air bakal disemarakkan lagi dengan kepulangan legenda-legenda rock tempatan era 90'an yang akan mengadakan konsert nostalgia pada 27 September 2025. Konsert Jelajah Nostalgia Rockestra 90'an yang akan berlangsung di RCDbig Studio, Level 5, Plaza Alam Sentral, Shah Alam bermula jam 9 malam ini dijangka menarik ribuan peminat yang merindui lagu-lagu hit zaman kegemilangan rock tempatan.
Sepuluh vokalis tersohor dari kumpulan rock ikonik era 90'an akan berkongsi pentas dalam satu malam yang penuh nostalgia. Barisan artis yang terlibat termasuk Blank dari Gamma, Aan dari Ways, Burn dari Meditasi, Renggo dari Arrow, Isa dari Gravity, Azan dari Scan, Shafie dari Rio, Afee dari Utopia, Wom dari UG14 dan Aju dari Success. Gabungan otai-otai ini dijangka akan membawakan lagu-lagu killer hits mereka yang pernah menjadi fenomena di era kegemilangan rock tempatan pada dekad 90'an.
Lokasi yang dipilih mampu menempatkan sehingga 1,200 penonton dengan lima kategori tiket yang ditawarkan iaitu Bronze pada harga RM188, Silver RM288, Gold RM388, Platinum RM488 dan tiket VIP yang dijual pada harga premium RM1,888. Bagi peminat yang tidak dapat hadir secara fizikal, konsert ini turut akan disiarkan secara streaming dengan tiket virtual yang dijual pada harga berpatutan RM20 sahaja, membolehkan lebih ramai peminat menikmati persembahan dari mana-mana lokasi.
Konsert yang dianjurkan oleh 211 Event Empire ini dijangka akan menjadi peristiwa bersejarah dalam industri muzik tempatan kerana menyatukan kembali legenda-legenda rock yang mungkin sudah lama tidak kelihatan di pentas utama. Tiket untuk konsert ini boleh dibeli melalui laman web rasmi www.211eventempire.com dan dijangka mendapat sambutan hangat daripada peminat setia rock tempatan yang sudah tidak sabar untuk bernostalgia dengan lagu-lagu kegemaran mereka.
Comments
Post a Comment