130 Finalis Anugerah Industri Muzik Ke-24 Diumumkan, Ganjaran RM700,000 Menanti Pemenang



Oleh: Norazni Ismail.

KUALA LUMPUR 15 OGOS 2025 - Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) hari ini mengumumkan senarai 130 finalis yang akan bersaing dalam 26 kategori Anugerah Industri Muzik Ke-24 (AIM24) yang dikuasakan oleh Samsung Galaxy A56 dan A36 5G. Dalam sidang media di Premiera Hotel Kuala Lumpur, Pengerusi RIM Encik Rosmin Hashim mendedahkan bahawa pemilihan lima finalis terbaik bagi setiap kategori telah dibuat oleh panel juri profesional yang diketuai oleh Datuk Mokhzani Ismail, dengan keseluruhan proses diaudit oleh firma pengauditan bertauliah Mazars.

Lebih menggembirakan, sebanyak 11 pemenang AIM24 akan menerima ganjaran lumayan berjumlah RM700,000 melalui peruntukan Dana Kandungan Kreatif (DKK) daripada Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures. Pemenang kategori 'Album Terbaik' akan menerima dana tertinggi sebanyak RM200,000, manakala 10 kategori lain termasuk 'Artis Baru Terbaik', 'Lagu Etnik Terbaik', 'Lagu Nasyid Terbaik', 'Lagu Tradisional Terbaik', 'Lagu Perpaduan Terbaik', 'Lagu Inggeris Tempatan Terbaik', 'Lagu Cina Tempatan Terbaik', 'Lagu India Tempatan Terbaik', 'Lagu Terbaik' dan 'Video Muzik Terbaik' masing-masing akan menerima RM50,000.

Proses penjurian yang telus dan amanah telah dijalankan berperingkat-peringkat bermula 14 dan 15 Julai 2025 di Timeless Studio untuk kategori rakaman, diikuti dengan penjurian semua kategori lain di Hotel Majestic pada 21 hingga 23 Julai 2025. RIM menerima sebanyak 682 pencalonan berdasarkan karya muzik yang diterbitkan antara 1 Julai 2022 hingga 31 Disember 2024, dan senarai finalis yang diumumkan hari ini merangkumi gabungan bakat baru yang sedang menyinar serta artis ternama yang telah lama bertapak dalam industri muzik tempatan.

Malam kemuncak AIM24 dijadualkan berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands pada Sabtu, 13 September 2025 mulai jam 9 malam dengan siaran langsung melalui TV2 dan RTM Klik. Acara ini mempertandingkan 30 kategori keseluruhan termasuk empat kategori baharu iaitu 'Lagu Tradisional Terbaik', 'Lagu Perpaduan Terbaik', 'Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis/Komposer Luar Negara Terbaik' dan 'Kugiran Terbaik'. Sebanyak enam kategori akan diumumkan pada Majlis Pra-Anugerah 12 September 2025, manakala 24 kategori utama akan diumumkan pada malam kemuncak yang dinanti-nantikan.

Comments

Popular posts from this blog

Wak Dan Lebih Selesa Bergerak Solo

Majlis Anugerah Kejayaan KAL Venture: Melahirkan Jutawan Pantas Malaysia

NIDJI MENGUMUMKAN KONSERT SOLO PERTAMA DI MALAYSIA