Artis Baharu Sony Music Malaysia NAZU Memukau Dengan Single Sulung "KOPI"



Oleh: Norazni Ismail.

KUALA LUMPUR 10 OGOS 2025 - Sony Music Malaysia dengan bangganya memperkenalkan wajah baharu yang segar dalam industri muzik tempatan menerusi kemunculan NAZU, seorang penyanyi muda berusia 20 tahun yang kini menjadi naungan label antarabangsa tersebut. Pelancaran rasminya sebagai artis profesional disempurnakan dengan single sulung berjudul "KOPI", sebuah karya pop santai dan dreamy yang sangat relatable dengan generasi masa kini. Nor Azureen Binti Saharin, nama sebenar NAZU, mengakui bahawa lagu ini mula ditulis secara santai ketika masih di bangku sekolah menengah, tanpa menyangka ia akan menjadi karya pertama yang membuka lembaran baharu dalam kerjaya seninya.

Perjalanan NAZU menuju ke pentas profesional bermula dari platform media sosial TikTok, di mana video cover lagu "Masa" nyanyiannya meraih lebih sejuta tontonan dalam masa seminggu sahaja. Kejayaan viral tersebut menjadi titik tolak kepercayaan dirinya untuk terus berkongsi muzik, sebelum akhirnya mendapat tawaran yang mengubah hidupnya untuk menjadi artis di bawah Sony Music. Walaupun mula menyanyi sejak umur tujuh tahun dengan pengaruh ahli keluarga yang turut berminat dalam muzik, pengiktirafan melalui platform digital ini membuktikan kuasa media sosial dalam melahirkan bakat baharu.

Single "KOPI" menampilkan cerita cinta ringan yang berlatarkan suasana santai di sebuah kafe, berkisarkan seorang gadis pemalu yang gemar berangan dan akhirnya berkenalan dengan seorang lelaki. Walaupun bersifat fiksyen, NAZU menulis lagu ini dengan gaya bersahaja dan penuh karakter, termasuk pick-up line kreatif "suka matcha atau suka kopi, kalau pilih kopi, baik kopi-lih aku" yang mencerminkan personaliti kelakarnya. Lagu ini diterbitkan dengan sentuhan Ezra Kong, komposer dan penerbit muzik tersohor, serta kolaborasi istimewa bersama Fahimi yang turut menyumbang vokal dan lirik, menjadikan proses rakaman yang hanya memerlukan dua sesi berjalan dengan lancar walaupun ini merupakan pengalaman studio profesional pertama NAZU.

Sebagai artis baharu, NAZU tidak tergesa-gesa mengunci dirinya dalam satu genre tertentu, sebaliknya melihat setiap karya sebagai ruang untuk mencuba dan membentuk suara yang benar-benar menggambarkan identiti dirinya. Dia kini merancang untuk menghasilkan single kedua dengan vibe yang berbeza sambil mengekalkan keaslian dalam setiap karya. NAZU menaruh harapan tinggi agar "KOPI" yang kini boleh didengari di semua platform penstriman utama seperti Spotify, Joox, Apple Music dan YouTube Music sejak 8 Ogos 2025, dapat membuat pendengar rasa tenang dan tersenyum, sama ada ketika sedih, stress mahupun sedang suka seseorang.


Comments

Popular posts from this blog

Wak Dan Lebih Selesa Bergerak Solo

Majlis Anugerah Kejayaan KAL Venture: Melahirkan Jutawan Pantas Malaysia

NIDJI MENGUMUMKAN KONSERT SOLO PERTAMA DI MALAYSIA