JOJET Ledak Showcase Merdeka- Setup Drum 18 Cymbal Buat Penonton Terpesona.

Jojet  hadir dengan penampilan 18 cymbal dram di showcase malam tadi.


Oleh: Papadin.

GOMBAK 31 OGOS 2025- Drummer legendari Jojet sekali lagi membuktikan kehebatannya di atas pentas apabila berjaya menghiburkan hampir 300 penonton yang hadir menyaksikan showcase "Jojet and Friend" di Warung Bapakku FM, Gombak pada malam sambutan Hari Kemerdekaan yang lalu. Persembahan yang berlangsung dalam suasana meriah ini menampilkan lebih 20 buah lagu popular termasuk hits seperti "Amuk", "Taman Rashidah Utama", "Masih Aku Terasa" dan "Suratan Takdir". Acara istimewa ini turut dimeriahkan dengan penampilan penyanyi jemputan seperti Alif dan Elia yang membawakan lagu-lagu seperti "Dari Tuhan", "Gemuruh" dan "Sejati", serta penampilan khas oleh Man Bai sebelum diakhiri dengan pertunjukan bunga api yang memukau.

Persembahan istimewa dari Man Bai.

Isma Halil selaku pemilik warung Bapakku FM turut menyumbangkan lagu.

Jojet yang kini berusia 58 tahun mengakui persembahan malam tersebut berjalan lancar walaupun masa latihan agak terhad. "Alhamdulillah, persembahan baik, overall baik, peminat yang datang pun baik-baik, supportive. Saya rasa betul-betul bertuah dapat perform malam ini," ujar Jojet dalam temu bual selepas persembahan. Beliau menjelaskan bahawa persembahan dibahagikan kepada dua set dengan set A mengandungi 7-8 lagu manakala set B turut menampilkan sekitar 8 lagu, menjadikan jumlah keseluruhan sekitar 20-22 lagu sepanjang malam. Momentum permainan tetap terjaga kerana kemudahan seperti drum set dan peralatan muzik telah disediakan dengan baik oleh pihak penganjur.

Persembahan dari Alif.

Bagi memastikan kualiti persembahan terjaga, Jojet mendedahkan bahawa beliau menjalani latihan mingguan sekurang-kurangnya sekali atau dua kali seminggu di studio yang telah disediakan. Sokongan penuh daripada rakan-rakan muzikal termasuk pemain terbaik, kru teknikal dan jurutera rakaman turut membantu memastikan persembahan berjalan lancar. "Kemudahan tu dah ada barang muzik tu dah ada, studio dah ada. Best player saya ada. Krew yang bertugas pun ada," jelasnya sambil memuji lokasi Warung Bapakku FM yang digambarkannya sebagai tempat yang cantik dan selesa untuk persembahan.

Persembahan Jojet yang dinantikan openonton.

Ketua Polis Daerah Gombak turut hadir bersama pasukannya.

Showcase yang merupakan persembahan keempat dalam siri ini menandakan komitmen berterusan Jojet dalam dunia muzik tempatan. Beliau menyatakan kesediaan untuk menerima undangan persembahan pada masa hadapan sambil menyerahkan urusan pengurusan dan produksi kepada rakan kongsi, Halim. Sebagai seorang drummer yang pernah bergiat aktif dengan kumpulan Gersang, Jojet berharap dapat terus bersaing dengan kumpulan-kumpulan ternama seperti Wings dan Barberik. "Saya harapkan peminat Wings, peminat Barbarik, peminat Jojet akan terus hidup terus maju, terus sokong atas keupayaan anak bangsa sendiri," ujarnya sambil mengajak peminat terus menyokong budaya dan muzik tempatan sempena sambutan Hari Kemerdekaan.

Pertunjukan bunga api mengakhiri showcase Jojet.


Comments

Popular posts from this blog

Wak Dan Lebih Selesa Bergerak Solo

Majlis Anugerah Kejayaan KAL Venture: Melahirkan Jutawan Pantas Malaysia

NIDJI MENGUMUMKAN KONSERT SOLO PERTAMA DI MALAYSIA