SELBIZ 2025 Kembali dengan Festival Inovasi dan Konsert Gempak



Oleh: Papadin.

SHAH ALAM 28 OGOS 2025- Ekspo Usahawan Selangor (SELBIZ) bakal kembali dengan lebih meriah melalui edisi keempat yang dijadualkan berlangsung dari 28 hingga 30 November 2025 di Shah Alam Convention Centre (SACC). Dianjurkan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menerusi Bahagian Pembangunan Usahawan (BPU), penganjuran tahun ini mengusung tema 'Festival Inovasi' dengan KRU Studios Sdn Bhd sebagai pengurus acara rasmi yang dijangka membawa pelbagai program strategik dan hiburan berkualiti tinggi.

Menurut Pengurus Pembangunan Usahawan PKNS, Yuzawati Yusof, SELBIZ 2025 disasarkan untuk terus menjadi platform utama pemadanan perniagaan antara syarikat multinasional, syarikat berkaitan kerajaan serta agensi kerajaan dengan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS). Matlamat penganjuran ini bukan sahaja untuk pasaran domestik, tetapi juga bagi menembusi pasaran antarabangsa sambil menggalakkan penggunaan teknologi digital dalam memajukan perniagaan PMKS di era revolusi industri 4.0.

Edisi tahun ini menawarkan pengisian baharu dan menarik termasuk zon pempamer berteknologi tinggi, konsert imersif selama tiga hari, program "Family Fun Run", pertandingan e-Sukan dan pelbagai aktiviti interaktif untuk seisi keluarga. Antara tarikan utama yang dinanti-nantikan ialah Konsert Gempak SELBIZ yang menampilkan barisan artis popular tanah air seperti Dayang Nurfaizah, Haqiem Rusii, Adira Suhaimi, Black Hanifah, Nabila Razali, Zarul Umbrella dan ramai lagi, di samping persembahan istimewa maskot watak animasi popular seperti Didi & Friends, Umar & Hana, Zan Orangutan dan Kikako Kids.

Kejayaan SELBIZ pada tahun lalu yang mencatatkan kehadiran lebih 36,000 pengunjung, penyertaan 200 usahawan dengan hasil jualan melebihi RM3.55 juta membuktikan potensi besar platform ini sebagai inisiatif strategik Kerajaan Negeri Selangor. Dato' Norman Abdul Halim selaku Pengurus Acara SELBIZ 2025 menjanjikan kelainan dengan strategi penjenamaan serta kandungan program yang lebih segar, termasuk pelbagai tawaran istimewa daripada pempamer dan hadiah cabutan bertuah yang akan diumumkan dari semasa ke semasa untuk menarik lebih ramai pengunjung.

Comments

Popular posts from this blog

Wak Dan Lebih Selesa Bergerak Solo

Majlis Anugerah Kejayaan KAL Venture: Melahirkan Jutawan Pantas Malaysia

NIDJI MENGUMUMKAN KONSERT SOLO PERTAMA DI MALAYSIA