Jinbara Kembali Dengan Line Up Baharu, Bakal Keluarkan Single Minggu Depan



Oleh: Norazni Ismail.

SIJANGKANG 02 SEPTEMBER 2025- Kumpulan rock veteran Jinbara mengumumkan kembalinya mereka ke industri muzik dengan lineup baharu yang diperkukuhkan oleh vokalis Amy dan pemain gitar Eddy. Menurut ahli kumpulan, mereka sebenarnya tidak pernah berhenti berkarya tetapi terpaksa menghadapi pelbagai cabaran termasuk masalah kesihatan ahli kumpulan terdahulu yang menyebabkan perjalanan mereka tertangguh. Kumpulan yang telah bertahan sejak sebelum pemergian Abang Tia ini menegaskan bahawa mereka sentiasa aktif mengadakan persembahan pentas walaupun kurang aktif di media sosial kerana memfokuskan kepada pembangunan karya dalam industri.

Pemilihan Amy sebagai vokalis baharu dibuat setelah melalui proses seleksi yang teliti dimana kumpulan ini mencari individu yang mampu membawa karakter Jinbara sambil mempertahankan identiti unik mereka sendiri. Menurut penjelasan ahli kumpulan, Amy dipilih kerana kemampuannya untuk menyesuaikan diri dengan pelbagai gaya muzik Jinbara dan tidak menentang konsep yang telah ditetapkan. Sementara itu, Eddy diperkenalkan oleh Lan yang telah bersama kumpulan sejak 2012, dan kedua-dua ahli baharu ini dipuji kerana mempunyai jiwa rock yang sebenar serta chemistry yang baik dengan ahli sedia ada.



Jinbara bakal melancarkan single terbaharu mereka dalam minggu hadapan sebagai sebahagian daripada strategi media blast untuk memberitahu peminat bahawa mereka masih aktif dalam industri muzik. Pelancaran ini merupakan rentetan daripada perancangan kumpulan untuk meluaskan prospek persembahan mereka dan menjangkau peminat dari pelbagai lapisan terutamanya golongan muda melalui platform media sosial. Kumpulan ini yakin bahawa single baharu akan menjadi penanda aras bagi perjalanan Jinbara yang baharu dan membuka peluang untuk lebih banyak persembahan pada masa hadapan.

Menurut Atan selaku pemain dram Jinbara, berharap agar band-band seumur mereka terus berkarya dan kekal relevan dalam industri muzik semasa untuk mengelakkan dominasi karya-karya yang dihasilkan secara artifisial. Mereka percaya bahawa kehadiran artis berpengalaman penting untuk membimbing generasi baharu dan memastikan kualiti karya yang dihasilkan dengan jiwa dan ruh masih wujud dalam industri. Jinbara komited untuk terus menyokong karya tempatan dan berharap peminat akan memberikan sokongan berterusan kepada perjalanan baharu mereka ini.

Semalam Jinbara mengadakan showcase mereka bertempat di Warisan Hall Studio, Sijangkang. Kehadiran lebih 200 penonton menceriakan persembahan mereka dengan lagu-lagu hits mereka seperti Kasihnya Laila, Farhana, Cinta Pantai Merdeka dan lain-lain lagi. 



Comments

Popular posts from this blog

Wak Dan Lebih Selesa Bergerak Solo

Majlis Anugerah Kejayaan KAL Venture: Melahirkan Jutawan Pantas Malaysia

NIDJI MENGUMUMKAN KONSERT SOLO PERTAMA DI MALAYSIA