Konsert Inteam 25 Tahun Memukau Lima Ribu Penonton di Idealive Arena.



Oleh: Hanim Ahmad.

DAMANSARA 30 SEPTEMBER 2025- Kumpulan nasyid Inteam berjaya mengadakan konsert berskala besar sempena ulang tahun ke-25 mereka dalam industri seni hiburan tanah air di Idealive Arena, Petaling Jaya baru-baru ini. Konsert yang mendapat sokongan tajaan daripada MINAZ ini disaksikan oleh lima ribu penonton yang memenuhi dewan berprestij tersebut. Suasana konsert sungguh meriah dengan sorakan bertali arus daripada para peminat setiap kali lagu-lagu popular Inteam dibawakan. Kumpulan yang mempunyai berbelas-belas album ini menampilkan persembahan yang penuh bertenaga dan memukau, disokong oleh band iringan serta penyanyi latar yang profesional menambahkan lagi kerancakan aura persembahan mereka pada malam itu.


Persembahan konsert tersebut dihiasi dengan limpahan lampu yang megah dan indah, manakala suasana dewan yang selesa dengan pendingin udara yang sejuk memberikan keselesaan kepada penonton yang hadir. Inteam telah mempersembahkan lagu-lagu popular mereka yang malar segar secara harmoni antaranya Kasih Kekasih, Impian Kasih, Nur Kasih, Setanggi Syurga, Siti Khadijah, Rabiaatul Adawiyah dan banyak lagi lagu yang mengimbau kenangan para peminat. Setiap persembahan disambut dengan penuh asyik oleh penonton yang hadir, membuktikan kehebatan kumpulan ini dalam menyampaikan lagu-lagu mereka dengan cukup baik dan menyentuh hati.


Konsert ini turut diserikan dengan kejutan istimewa apabila Salman, anak kepada Arwah Suhami Saad yang merupakan bekas anggota kumpulan Inteam tampil ke pentas. Salman telah menyanyikan lagu single arwah bapanya bersama Inteam iaitu lagu Bias Kasih yang memberikan impak sayu di hati semua penonton yang hadir termasuk peminat setia nasyid dan Inteam sejak dahulu. Kehadiran mentor Inteam iaitu kumpulan nasyid Hijjaz turut memeriahkan lagi suasana konsert tersebut apabila mereka dijemput naik ke pentas untuk memberikan ucapan sokongan kepada anak didik mereka. Inteam berbangga kerana kebanyakan lagu mereka telah dicipta oleh kumpulan Hijjaz dalam album-album terdahulu dan lagu-lagu ini pernah menjadi fenomena satu masa dahulu.


Konsert Inteam 25 tahun ini memang layak diberi penarafan cemerlang kerana telah memberikan persembahan yang luar biasa dan akan menjadi memori kenangan terindah bukan sahaja untuk ribuan penonton yang hadir tetapi juga buat peminat nasyid tanah air. Kejayaan kumpulan ini mengadakan konsert berskala besar di veneu yang berprestij membuktikan bahawa Inteam masih relevan dan terus dicintai selepas 25 tahun berkarya dalam industri muzik nasyid tempatan. Tahniah diucapkan kepada Inteam atas kejayaan konsert yang memukau ini dan semoga mereka terus menghasilkan karya-karya yang berkualiti untuk para peminat setia mereka.

Comments

Popular posts from this blog

Wak Dan Lebih Selesa Bergerak Solo

NIDJI MENGUMUMKAN KONSERT SOLO PERTAMA DI MALAYSIA

Majlis Anugerah Kejayaan KAL Venture: Melahirkan Jutawan Pantas Malaysia