Showcase Dr Kronik vs Giegiel "Jerat Buragas" Berjaya Pikat Hampir 300 Penonton di Sijangkang
Oleh: Papadin.
SIJANGKANG 07 SEPTEMBER 2025- Warisan Hall Studio di Sijangkang telah menjadi saksi kepada satu malam yang penuh bertenaga apabila konsert "Jerat Buragas" yang dianjurkan oleh Rockstage Entertainment di bawah kendalian Talib Othman berjaya menarik hampir 300 penonton pada 6 September 2025. Konsert yang menampilkan pertembungan antara dua kumpulan muzik tempatan iaitu Dr. Kronik dan Giggiel ini telah memberikan pengalaman muzikal yang tidak dapat dilupakan kepada para hadirin dengan harga tiket yang berpatutan iaitu RM90 sahaja.
Kumpulan Dr Kronik telah membuka konsert dengan persembahan yang memukau melalui lagu-lagu hits mereka telah menghadirkan persembahan yang penuh dengan interaksi bersama penonton melalui 10 buah lagu pilihan mereka. Bermula dengan "Zero Hero", "Kapcai" dan "Lagu Orang Gila", kumpulan ini turut mempersembahkan lagu-lagu seperti "Amuk Pasir Salak", "Bodoh Macam Yo Yo", "Veto" dan "Entiti- Supernova". Kemuncak persembahan mereka dicapai melalui lagu "Buragas", "Hidup Hidup Di Bakar" dan penutup dengan "Fanatik" yang menyaksikan penonton turut bernyanyi bersama.
Tidak kurang hebatnya, Kumpulan Giegiel memukau penonton dengan senarai lagu mereka yang terdiri daripada 13 buah lagu termasuk "Genggam", "Keris Berkarat", "Tinggal Akhirnya", "Penasaran" dan "Pudarnya Satu Nama". Lagu-lagu popular mereka seperti "Mencari", "Pelita Hidup", "Talam Dua Muka" dan "Cahaya" turut disambut meriah oleh penonton, manakala lagu penutup "Creeping Death" dan "Kek Metal" telah meninggalkan kesan mendalam kepada para peminat muzik rock tempatan. Walaupun kesihatan penyanyinya tidak begitu baik iaitu Ijam yang menggangu persembahan meraka, ia diteruskan dengan penyanyi jemputan, Alang dari SYJ-SOFEA.
Sebelum menutup tirai, Dr Kronik dan Giegiel bergabung dalam 'Battle of Performance' membawakan lagu Semangat Lamina dendangan Kumpulan Rock Lefthanded membuatkan penonton terus menghayunkan kepala sambil menyanyi bersama.
Kejayaan konsert ini membuktikan bahawa industri muzik rock tempatan masih mempunyai tempat istimewa di hati rakyat Malaysia. Dengan sokongan padu daripada para peminat dan kualiti persembahan yang tinggi daripada kedua-dua kumpulan, Rockstage Entertainment telah berjaya menghadirkan satu platform yang memberikan peluang kepada artis tempatan untuk berkongsi bakat mereka. Konsert "Jerat Buragas" bukan sahaja menjadi hiburan kepada masyarakat setempat, malah turut memperkukuh kedudukan Warisan Hall Studio sebagai salah satu venue pilihan untuk acara muzik di kawasan Sijangkang.
Comments
Post a Comment