Dari Malaysia ke Seluruh Dunia: Syria Care Angkat Bantuan Kemanusiaan ke Pentas Global
Oleh: Papadin.
SHAH ALAM, 30 SEPTEMBER 2025 – Syria Care hari ini mencatat sejarah baharu dalam perjuangan kemanusiaan Malaysia apabila melancarkan Pertubuhan Amal HUMAM atau HUMAM Relief, sebuah organisasi baharu yang bakal memperluaskan misi kemanusiaan negara ke peringkat global. Pengerusi merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Syria Care, Siti Sakinah Meor Omar Baki berkata, HUMAM Relief yang lahir pada 2024 ini merupakan hasil daripada pengalaman lebih sedekad Syria Care berkhidmat di bumi Syam, dengan visi yang lebih luas untuk membina masa depan mampan dan bermaruah bagi masyarakat rentan di seluruh dunia. Majlis pelancaran turut menyaksikan pembentangan logo baharu Syria Care yang melambangkan aspirasi dan kematangan organisasi itu.
![]() |
Ketua Pegawai Eksekutif Syria Care, Siti Sakinah Meor Omar Baki. |
Walaupun baharu setahun didaftarkan, HUMAM Relief telah mula mengorak langkah dengan beberapa projek awal yang memberi impak, termasuk pembinaan telaga air bersih di Uganda dan Indonesia, pemulihan rumah-rumah rosak akibat konflik di Syria, serta projek WASH berkaitan Inisiatif Kebersihan Wanita dan Kesihatan Haid di Malaysia melalui kerjasama dengan agensi kerajaan dan badan korporat. Siti Sakinah menegaskan bahawa HUMAM Relief percaya setiap bantuan mesti menghormati identiti, budaya dan maruah komuniti yang dibantu supaya mereka bukan sekadar hidup tetapi hidup dengan martabat. Organisasi baharu ini akan berperanan sebagai sayap global Syria Care, manakala Syria Care sendiri akan terus memberi tumpuan kepada bumi Syam iaitu Syria, Palestin dan Lubnan.
Ditubuhkan pada 2012 bermula daripada sebuah bilik kecil oleh sekumpulan sukarelawan dan bekas pelajar Syria di Malaysia, Syria Care yang diterajui pengasasnya Sheikh Samir Sakka telah berkembang menjadi NGO kemanusiaan yang meninggalkan kesan besar. Antara pencapaian penting organisasi itu termasuk projek perumahan Kampung Malaysia di Idlib yang menempatkan 274 keluarga, penajaan hampir 6,000 anak yatim, pembinaan 19 sekolah termasuk sekolah khas anak yatim di Aqrabat, serta rumah anak yatim dan warga emas Dar As Sakinah di Jisr Al Shughur. Syria Care turut menjadi NGO Malaysia pertama yang didaftarkan secara rasmi di Syria, membolehkannya menyalurkan bantuan dengan lebih sistematik kepada hampir 6 juta penerima manfaat di Malaysia, Syria, Türkiye, Lubnan, Afghanistan, Uganda, Yemen, Nepal dan selatan Thailand.
Dalam ucapannya, Siti Sakinah memuji sokongan padu rakyat Malaysia yang menjadi tulang belakang perjuangan kemanusiaan ini. "Perjalanan lebih sedekad Syria Care membuktikan bahawa setiap doa, sumbangan dan sokongan rakyat Malaysia mampu mengubah kehidupan insan-insan lain. HUMAM Relief adalah kesinambungan daripada kekuatan ini," katanya sambil menegaskan bahawa misi kemanusiaan ini bukan milik Syria Care atau HUMAM Relief semata-mata, tetapi milik semua rakyat Malaysia yang diamanahkan untuk membela sesama insan. Kedua-dua organisasi ini akan digerakkan oleh pasukan yang sama dengan semangat kemanusiaan yang tidak pernah padam, dengan harapan HUMAM Relief akan berkembang menjadi peneraju misi kemanusiaan melalui projek-projek mampan di Malaysia dan peringkat antarabangsa.
Comments
Post a Comment