Malaysia Kejar Mahkota Karaoke Dunia - Dua Wakil Terpilih Beraksi Di Bangkok 2025



Oleh: Norazni Ismail.

KUALA LUMPUR 25 SEPTEMBER 2025 - Malaysia bakal diwakili oleh dua penyanyi berbakat tempatan, Nor Hisham bin Md Yusof dan Osman bin Yahya, yang akan berentap di Karaoke World Championship (KWC) 2025 di Bangkok, Thailand pada November ini. Kedua-dua peserta ini berjaya melalui saringan ketat di peringkat tempatan yang dianjurkan pihak KWC, sekaligus menjadi harapan negara untuk mengangkat nama Malaysia di pentas antarabangsa. Turut hadir dalam sidang media khas semalam ialah Kamsari bin Jalil dari My Muzik Sendiri Entertainment yang bertindak sebagai promoter rasmi, sambil mengumumkan pelantikan mereka sebagai duta produk BTA Global X bagi mengangkat jenama tempatan ke mata dunia. ‘BTA GLOBAL X merupakan Penaja Utama kepada Nor Hisham b Md Yusuf & Osman b Yahya bagi mempromosikan mereka berdua sebagai Duta BTA Global X & wakil Malaysia ke pertandingan Karaoke World Championships’.

Kamsari bin Jalil dari My Muzik Sendiri Entertainment.



Perjalanan kedua-dua finalis ini bermula di peringkat saringan yang berlangsung di Layar Farm Golf, di mana mereka muncul sebagai yang terbaik daripada beberapa peserta awal. Menurut Osman, mereka tidak menyangka akan terpilih ke final namun kini berkomitmen penuh untuk mengharumkan nama Malaysia dengan persediaan serius meliputi latihan vokal intensif, rehat mencukupi dan pemilihan lagu terbaik. Nor Hisham yang cenderung kepada genre pop dan balada turut menegaskan pemilihan lagu akan disesuaikan dengan keadaan vokal semasa, namun kedua-duanya memilih merahsiakan lagu pertandingan sebagai kejutan sambil mengesahkan lagu berbahasa Melayu wajib dipersembahkan tahun ini.

Nor Hisham Md Yusof.

Pertandingan KWC 2025 dijangka menghimpunkan lebih 30 negara peserta dengan kategori solo menawarkan hadiah utama bernilai €5,000 atau RM25,000, terbuka hanya kepada peserta amatur bagi memberi ruang kepada bakat baharu seluruh dunia. Walaupun semua kos penerbangan dan penginapan ditanggung Mana Cafe, cabaran utama tetap pada latihan intensif dan kekangan masa memandangkan kedua-dua peserta mempunyai komitmen kerja dan tanggungjawab lain. "Kami datang bukan sekadar untuk sertai, tetapi dengan niat mahu menang kerana ini peluang sekali seumur hidup membuktikan bakat Malaysia di pentas antarabangsa," kata Nor Hisham penuh bersemangat.

Osman Yahya.

Kamsari menegaskan platform ini bukan sahaja mempromosikan bakat tempatan tetapi turut memperkukuh jenama Malaysia di mata dunia, menyeru rakyat memberi sokongan moral melalui media sosial dan tontonan dalam talian. "Ini bukan sekadar pertandingan karaoke, tetapi peluang mengangkat budaya dan bahasa Melayu ke pentas dunia," katanya. Malaysia kini menaruh harapan tinggi pada Nor Hisham dan Osman untuk mencipta sejarah di Bangkok, dan penyertaan mereka sudah menjadi kebanggaan buat industri seni suara tanah air. Rakyat Malaysia boleh mengikuti perjalanan mereka melalui TikTok di @mr_nasibiryani (Nor Hisham) dan @mansha (Osman).

Comments

Popular posts from this blog

Wak Dan Lebih Selesa Bergerak Solo

NIDJI MENGUMUMKAN KONSERT SOLO PERTAMA DI MALAYSIA

Majlis Anugerah Kejayaan KAL Venture: Melahirkan Jutawan Pantas Malaysia