PWAS Anjur Malam Makan Amal Berkonsep Retro P. Ramlee dan Saloma



Oleh: Papadin.

BUKIT KIARA 05 SEPTEMBER 2025- Persatuan Wira Anak Seni (PWAS) akan menganjurkan Malam Makan Amal 2025 yang istimewa dengan mengusung tema "Malam Retro Berkonsep P. Ramlee dan Saloma" pada 29 November 2025. Majlis yang dijadualkan berlangsung dari jam 8.00 malam hingga 11.45 malam ini akan diadakan di AlamRitz Catering & Wedding Planer, Kelab Golf Perkhidmatan Awam (KGPA) Jalan Damansara, Bukit Kiara. Konsep retro yang dipilih ini bukan sahaja menghidupkan kembali kenangan zaman kegemilangan seni hiburan tanah air, malah turut meraikan legasi dua ikon terbesar industri hiburan Malaysia. Majlis juga akan diserikan dengan penampilan Jibam Ramlee dan Keena Mentor yang akan mempersembahkan lebih dari 10 buah lagu.


Program amal ini dianjurkan dengan misi mulia untuk mencari dana bagi tabungan PWAS dalam usaha murni menjaga kebajikan anak-anak seni, khususnya dalam kalangan ahli yang memerlukan sokongan kewangan pada waktu-waktu tidak dijangka. Persatuan yang berdaftar dengan nombor PPM-027-14-23072024 ini berkomitmen untuk melaksanakan program yang selari dengan matlamat pengisian yang ditetapkan sambil sentiasa menjaga nama baik pertubuhan. Dana yang dikutip akan digunakan sebagai modal asas untuk menjalankan program kebajikan bagi membantu ahli-ahli yang dikenalpasti memerlukan bantuan.
 15 buah meja diperuntukkan pada malam itu dengan harga jualan setiap meja’Gold’ untuk 8 orang bernilai RM1600.00 sebuah dan ‘Silver’ bernilai RM800.00 untuk 8 orang.



Malam makan amal ini juga bertujuan menerapkan nilai-nilai murni seperti kasih sayang, bantu-membantu, semangat setia kawan dan bersatu padu dalam diri setiap ahli serta pihak-pihak lain yang terlibat. PWAS percaya bahawa melalui program seperti ini, hubungan silaturrahim dan persefahaman antara ahli pelbagai latar belakang dapat diperkukuhkan. Organisasi ini komited untuk mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan dalam usaha membentuk masyarakat yang berkemahiran dan berdisiplin. 




Dengan lokasi strategik di Bukit Kiara dan konsep yang menarik menggabungkan nostalgia dan tujuan kebajikan, Malam Makan Amal PWAS 2025 dijangka akan menjadi satu peristiwa berkesan dalam kalendar aktiviti seni tanah air. Persatuan yang beralamat di 9-0-3 Jalan 13/154 D, Taman Desa Cheras, Kuala Lumpur ini mengajak semua pihak untuk bersama-sama menjayakan program murni ini demi kesejahteraan komuniti anak seni Malaysia.

Comments

Popular posts from this blog

Wak Dan Lebih Selesa Bergerak Solo

Majlis Anugerah Kejayaan KAL Venture: Melahirkan Jutawan Pantas Malaysia

NIDJI MENGUMUMKAN KONSERT SOLO PERTAMA DI MALAYSIA