Universal Music Malaysia Lancar Vinyl Eksklusif Sempena 40 Tahun Datuk Sheila Majid
KUALA LUMPUR 23 SEPTEMBER 2025 - Universal Music Malaysia dan PMP Entertainment dengan bangganya mengumumkan pelancaran bersejarah kesemua lapan album Datuk Sheila Majid dalam format vinyl, menjadikan beliau artis Malaysia pertama yang mencapai pencapaian istimewa ini. Edisi terhad yang dilancarkan sempena ulang tahun ke-40 beliau dalam industri muzik ini bukan sahaja meraikan perjalanan seni yang gemilang, malah menjadi hadiah istimewa buat para peminat yang membesar dengan karya agung Ratu Pop Malaysia.
Pengarah Kanan A&R dan Pengurusan Artis Universal Music Malaysia, Hermond Cheng menegaskan bahawa objektif utama pelancaran ini bukan sekadar menyambut Konsert Sheila Majid 40 Years in Music pada 8 November akan datang, tetapi juga memenuhi permintaan ramai peminat yang sering bertanya mengenai ketersediaan album beliau dalam format vinyl. "Ini merupakan kali pertama seorang artis Malaysia memiliki kesemua album dalam format vinyl dan ia diharap dapat mengimbau kenangan peminat serta perjalanan seni Datuk Sheila Majid," katanya.
Koleksi eksklusif ini menawarkan hanya 300 set sahaja kepada para peminat, menjadikannya antara koleksi vinyl paling terhad dalam sejarah muzik Malaysia. Set istimewa yang memuatkan lapan album iaitu Dimensi Baru, Emosi, Warna, Legenda, Ratu, Ku Mohon, Cinta Kita dan Boneka ini merupakan hasil kerjasama antara beberapa label muzik utama termasuk EMI Music/Universal Music, Warner Music Malaysia dan Magada Entertainment Sdn Bhd.
Pra-tempahan akan dibuka pada 23 September 2025 jam 12.00 tengah hari dengan harga istimewa RM1,499.00, manakala harga biasa selepas itu ialah RM1,599.00. Vinyl edisi terhad ini akan dilancarkan secara rasmi pada 5 Oktober 2025 dan dijangka menjadi koleksi berharga bukan sahaja kepada peminat setia Datuk Sheila Majid, tetapi juga pencinta muzik dan pengumpul vinyl di seluruh Malaysia. Maklumat lanjut mengenai pra-tempahan boleh diikuti melalui laman rasmi Universal Music Malaysia di media sosial.
Comments
Post a Comment