Legenda Nusantara Bersatu - CRADLE & Ramli Sarip Hidupkan Semangat Rock Alternatif



Oleh: Norazni Ismail.

KUALA LUMPUR 07 OKTOBER 2025- Kumpulan rock alternatif CRADLE dari Singapura bakal menggegarkan Kuala Lumpur dengan persembahan intim eksklusif bertajuk Cradle Live! pada 14 November 2025 di Poolside Bistro, tingkat tiga, Ideas Hotel Kuala Lumpur. Showcase yang dianjurkan oleh Rasa Karya ini menampilkan konsep santai namun penuh tenaga, dengan keistimewaan kehadiran legenda rock tanah air, Datuk Ramli Sarip. Persembahan ini dijangka menjadi malam penuh nostalgia yang menyatukan dua generasi pemuzik nusantara, iaitu Ramli Sarip sebagai ikon "Papa Rock" dan CRADLE sebagai pelopor rock alternatif yang berjaya menembusi pasaran Malaysia pada era 1990-an dengan aliran grunge dan identiti muzik tersendiri.

CRADLE yang dibarisi oleh Addy pada gitar dan vokal, Eiz sebagai vokalis, Zul pada bass dan ADH di dram, terkenal dengan keupayaan mereka menyatukan pengaruh muzik barat dengan jiwa nusantara. Kumpulan ini mencipta sejarah apabila melancarkan album Ceritera Awan pada September 2007, yang membawa mereka meraih Anugerah Lagu Terbaik menerusi lagu "AYU" di Anugerah Planet Muzik 2008. Album tersebut turut dinobatkan sebagai Album Terbaik Tahun 2008, suatu pencapaian luar biasa bagi kumpulan asal Singapura yang membuktikan kualiti dan pengaruh mereka dalam dunia muzik serantau.


Lebih menarik, Addy Cradle bukanlah nama asing di kalangan penggiat muzik tempatan kerana sering menjadi pemuzik jemputan untuk artis popular tanah air seperti Awie dan Ella, menjadikannya antara gitaris paling disegani di Malaysia dan Singapura. Menurut penganjur, Cradle Live! menonjolkan sisi lebih peribadi dan eksklusif daripada kumpulan tersebut, memberi peluang kepada peminat menikmati persembahan dalam suasana lebih dekat dan mesra berbanding konsert berskala besar. Wakil Rasa Karya menegaskan bahawa acara ini bukan sekadar persembahan, tetapi satu penghargaan terhadap perjalanan panjang CRADLE dan pengaruh besar mereka terhadap perkembangan rock alternatif di rantau ini.

Acara bermula dengan makan malam bufet pada jam 8 malam, diikuti persembahan utama CRADLE pada jam 9.30 malam. Gabungan aura legenda Datuk Ramli Sarip yang dikenali dengan karya berjiwa dan karisma luar biasa, bersama tenaga anak seni berpengalaman seperti Addy Cradle, dijangka menjadikan showcase ini antara acara muzik paling dinantikan penghujung tahun ini. Tiket dijual pada harga RM250 untuk Front Row dan RM160 untuk Bistro dan Smoking Zone melalui laman www.iLassoTickets.com/cradlelive atau hubungi talian +60 11-1329 7822 untuk tempahan.



Comments

Popular posts from this blog

Wak Dan Lebih Selesa Bergerak Solo

NIDJI MENGUMUMKAN KONSERT SOLO PERTAMA DI MALAYSIA

Majlis Anugerah Kejayaan KAL Venture: Melahirkan Jutawan Pantas Malaysia