Tourism Malaysia Promosi Keunikan Budaya Melalui Pantai Timur Fest 2025



Oleh: Norazni Ismail.

KUALA LUMPUR, 03 OKTOBER 2025 — Pantai Timur Fest 2025 (PTF 2025) membuka tirainya di Seri Pacific Hotel Kuala Lumpur, bermula 1 hingga 21 Oktober 2025. Festival ini dianjurkan oleh Tourism Malaysia bersama Seri Pacific Hotel Kuala Lumpur dengan kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu, Tourism Pahang, Tourist Information Centre (TIC) Kelantan, KL Hop-On Hop-Off, serta jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC).

Ketua Pengarah Tourism Malaysia, YBhg. Datuk Manoharan Periasamy menekankan kepentingan kebudayaan Malaysia sebagai daya tarikan utama pelancongan negara dalam meraih kejayaan Tahun Melawat Malaysia 2026. Beliau yang hadir merasmikan Majlis Pelancaran Pantai Timur Fest 2025 di Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur pada 3 Oktober 2025 berkata keunikan budaya merupakan kelebihan daya saing Malaysia berbanding negara jiran yang menawarkan tarikan pelancongan hampir sama seperti pantai dan aktiviti lasak. Datuk Manoharan turut berkongsi pengalaman peribadi apabila beliau menganggap ICT di Terengganu merujuk kepada Silicon Valley sedangkan rakan-rakannya sebenarnya membawa beliau menikmati ikan celup tepung, satu pengalaman gastronomi yang unik.


Mengambil contoh makanan ikonik seperti nasi ayam Hainan yang sukar ditemui di Hainan sendiri, roti canai yang hanya terdapat di kawasan tertentu di India, dan nasi lemak yang boleh dinikmati pada sebarang waktu, Datuk Manoharan menegaskan keunikan inilah yang perlu ditonjolkan dalam usaha promosi Malaysia. Beliau berharap pengarah-pengarah Tourism Malaysia dapat bekerjasama dengan Datuk Razali Idris, Exco Pelancongan Negeri Terengganu yang telah membuat keputusan mempromosikan Terengganu melalui jalan darat ke negara Asia seperti Singapura dan Thailand, bagi mewujudkan peluang promosi yang lebih berkesan.


Pantai Timur Fest 2025 yang menghimpunkan lebih 30 makanan warisan pantai timur dengan penyertaan 33 pengusaha makanan tempatan merupakan contoh kerjasama erat antara peringkat persekutuan dan negeri dalam mempromosikan segmen pelancongan gastronomi. Program ini turut mempersembahkan persembahan kebudayaan seperti Dikir Barat, Mahyong, Kendang Pahang dan Gamelan, termasuk persatuan gamelan tiga generasi berusia antara 12 hingga 75 tahun yang beliau saksikan sendiri, serta pameran produk warisan seperti tenun diraja Pahang, tembaga Terengganu dan barang kemas Kelantan. Datuk Manoharan memberitahu penambahan laluan bas KL Hop On Hop Off ke Hotel Seri Pacific sempena festival ini bukan sahaja menarik pelancong domestik malah memberi peluang kepada pelancong asing yang merupakan pengguna utama perkhidmatan tersebut untuk mengalami sendiri kekayaan budaya pantai timur.


Merakamkan pencapaian positif sektor pelancongan domestik 2024 dengan ketibaan 261 juta pelawat dan sasaran 280 juta pelawat bagi 2025, Ketua Pengarah Tourism Malaysia menyeru semua rakan industri dan media memanfaatkan platform ini untuk membangunkan pakej baharu melalui segmen pelancongan gastronomi. Beliau berharap Pantai Timur Fest dapat diteruskan sebagai acara tahunan dan dimasukkan dalam kalendar aktiviti 2026 bagi memberi peluang kepada pengusaha pelancongan tempatan dan luar negara menjadikannya sebagai salah satu pakej pelancongan ketika melawat Malaysia. Datuk Manoharan merakamkan penghargaan kepada Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur dan rakan strategik termasuk Kerajaan Negeri Terengganu, Tourism Pahang dan TDC Kelantan dalam menjayakan acara ini demi memastikan pelancongan domestik dan antarabangsa terus lestari.

Comments

Popular posts from this blog

Wak Dan Lebih Selesa Bergerak Solo

NIDJI MENGUMUMKAN KONSERT SOLO PERTAMA DI MALAYSIA

Majlis Anugerah Kejayaan KAL Venture: Melahirkan Jutawan Pantas Malaysia