YAYASAN AL-SULTAN ABDULLAH (YASA) RAIH PERHATIAN TERHADAP KEBAJIKAN SENIMAN VETERAN.
![]() |
Tuan Haji Fakrul Islam bin Juhali, (Pengurus Besar Yayasan Al-Sultan Abdullah -YASA) (dua dari kiri) sudi menyampaikan sumbangan kepada Dharma Harun Al Rashid di kediaman belaiu. |
Oleh: Norazni Ismail.
KUALA LUMPUR, 17 OKTOBER 2025 – Seniman veteran tanah air, Dharma Harun Al Rashid, menerima sumbangan kebajikan dan bantuan kesihatan komprehensif yang disampaikan oleh Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA), sebuah yayasan di bawah naungan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj.
Program ini dilaksanakan menerusi inisiatif “Santuni Warisan YASA: Kasih Untuk Pejuang Seni” sebagai tanda kasih dan penghargaan terhadap jasa para seniman serta penggiat seni veteran yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan warisan budaya dan hiburan negara.
![]() |
Tuan Haji Fakrul Islam bin Juhali, Pengurus Besar YASA (kanan), menyantuni Dharma |
Sumbangan yang disampaikan hari ini merupakan limpah kurnia dan keprihatinan KDPB Tuanku Sultan Pahang melalui Yayasan Al-Sultan Abdullah, yang sentiasa komited memperjuangkan kesejahteraan rakyat khususnya golongan asnaf, warga emas dan artis veteran yang memerlukan bantuan.
Selain sumbangan kewangan, pasukan perubatan YASA turut menjalankan pemeriksaan kesihatan menyeluruh dan diagnosis awal bagi memastikan Dharma menerima rawatan terbaik dan berterusan. Langkah ini sejajar dengan matlamat YASA untuk melaksanakan pendekatan kebajikan secara holistik — meliputi aspek kesihatan, kesejahteraan sosial dan sokongan moral kepada penerima manfaat.
Menurut Tuan Haji Fakrul Islam bin Juhali, Pengurus Besar YASA, program ini dilaksanakan dengan kerjasama Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) serta beberapa tokoh industri seni terkenal termasuk Dato’ Freddie Fernandez, Presiden KARYAWAN, dan Dato’ Khadijah Ibrahim, Pengerusi KARYAWAN.
“Program ini adalah manifestasi kasih dan keprihatinan KDPB Tuanku Sultan Pahang terhadap golongan seniman yang telah banyak berjasa kepada negara. YASA berperanan sebagai pemudah cara dalam menyampaikan titipan kasih dan sumbangan Tuanku agar manfaatnya dirasai secara langsung oleh mereka yang memerlukan,” ujar Tuan Haji Fakrul Islam.
![]() |
Tuan Haji Fakrul Islam bin Juhali, Pengurus Besar YASA. |
Dharma, mengalami masalah kesihatan sejak diserang strok pada tahun 2019 dan kini menghidap asma serta tekanan darah tinggi. Hasil pemeriksaan awal mendapati beliau tidak menerima rawatan susulan mencukupi sebelum ini. Susulan lawatan hari ini, beliau akan kerap menjalani pemeriksaan lanjut termasuk ujian darah penuh, X-ray dan imbasan jantung untuk merawati masalah kesihatan beliau.
Dato’ Khadijah Ibrahim mewakili KARYAWAN turut menzahirkan penghargaan kepada KDPB Tuanku Sultan Pahang serta YASA atas keprihatinan dan kesudian menyantuni golongan artis veteran. Menurut beliau, ramai daripada lebih 7,000 ahli KARYAWAN berdepan kesukaran hidup dan amat memerlukan perhatian seperti ini.
![]() |
Dato’ Khadijah Ibrahim (Pengerusi KARYAWAN) turut hadir. |
Selain bantuan kebajikan, YASA turut mengusahakan pembangunan pusat dialisis beroperasi di bawah pengurusan yayasan, bagi membantu golongan berpendapatan rendah termasuk artis veteran yang menanggung kos rawatan tinggi.
Program ini diharap menjadi pemangkin kepada masyarakat dan pihak korporat untuk turut sama berganding bahu memperkasa usaha kebajikan — menyahut semangat ihsan dan kasih yang sentiasa dizahirkan oleh KDPB Tuanku Sultan Pahang terhadap rakyat.
![]() | ||
|
Comments
Post a Comment